Tuesday, May 29, 2012

Essay ?


Hey guys!

Sempena Hari Ibu, taman Farah ada masuk pertandingan buat essay about ibu masing masing. Farah ambil tak kesah ja sebab malas nak join tapi my mum galakkan sangat orang masuk! :3 So I have to do it. Start tonite, Insya-Allah I will make the essay. For you ibu <3

p/s tapi janganlah comment pelik pelik kayh. huhu

Here there are.. :)


                  Ibuku Istimewa

Setiap insan di seluruh pelusuk dunia ini mempunyai bonda tercinta. Ada yang memanggil insan istimewa itu ‘ummi’, ‘ibu’, ‘mak’, ‘mummy’, ‘mama’ dan sebagainya. Tidak lengkap rasanya hidup ini jika tiada mereka di dunia. Mungkin juga ada segelintir berasa separuh mati jika kehilangan insan ini di sisi seperti telah meninggal dunia atau hilang entah ke mana. Sehinggakan ada yang mengatakan bahawa perkara paling teruk dalam hidup ialah kehilangan insan yang bergelar bonda ini. Hal ini kerana merekalah yang mengandungkan, melahirkan, menyusukan, membesarkan dan mendidik sejak lahir hingga dewasa. Oleh itu, banyak hal-hal tentang ibu banyak disiarkan di surat khabar, kaca tv, di papan iklan dan di internet lebih-lebih lagi apabila menjelang Hari Ibu yang di sambut sekali setahun pada bulan Mei. Hal ini kerana ia menjadi satu inisiatif penting untuk menunjukkan kepada umum bahawasanya golongan hawa ini sangat berharga, penting dan harus disanjung.

                     Tepat jam 4.00 petang aku dilahirkan di Klinik Sheela, Klang pada 6 April 1995 oleh ibu tercinta, Hamidah Mohd Jamil. Pada ketika itu, ibu baru berumur 29 tahun manakala abah pula berumur 34 tahun. Namaku telah diberikan oleh ayah tersayang iaitu Farah Khalidah yang bermaksud Kegirangan Yang Kekal. Dulu aku tertanya-tanya, siapakah yang menamakan diriku? Aku pernah bertanya pada ibu, “Ibu, siapa yang bagi nama Farah?” Ibu menjawab, “Abahlah” jawabnya ringkas. Selepas itu, baru aku tahu, bukan namaku sahaja yang telah diberikan oleh abah malah nama adik-beradik yang lain juga begitu. Hal ini kerana bagi ibu, nama anak-anak lebih baik seakan-akan nama ayah. Mungkin dengan cara ini, baru jelas menunjukkan kami anak ibu dan abah. Contohnya, nama abah ialah Fazli dan ibu ialah Hamidah manakala nama adik-beradikku ialah Farhan, Farah, Faris dan Faiqah. Semuanya bermula dengan abjad yang sama seperti nama abah iaitu huruf F. Selain seakan-akan, nama-nama ini juga Nampak ‘smart’ dan ‘style’ kerana ada persamaan antara kami semua. Di samping itu, mengikut pandangan Ustaz Azhar Idrus di laman Twitternya, hak menamakan anak-anak memang ada pada seorang ayah atau datuk dan hal ini mungkin dipraktikkan oleh ibu sepanjang dia bergelar  seorang permaisuri dalam keluarga.

                     Cerita tentang ibuku, beliau kadang-kala seorang yang tegas dan kadang-kala seorang yang lucu. Kedua-dua ciri ini memang berbeza bagai langit dan bumi tetapi inilah kenyataannya. Contoh peristiwa bagi karakter tegas ialah apabila beliau mendidik anak-anak. Apabila kami leka dengan waktu solah, dia akan menjerit dan memarahi kami semua. Begitu juga apabila kami bangun lewat daripada tidur. Jika bangun lewat, sudah semestinya kami akan terlewat membuat kerja rumah. Jika kami membuat kerja rimah dengan tidak sempurna juga akan membuat ibu marah dan mengamuk. Selain itu, ibu akan kelihatan amat tegas apabila diantara kami pulang lewat ke rumah. Selalunya, abah dan ibu memberikan masa sehingga sebelum maghrib sahaja. Jika kami melepasi had masa yang telah diberikan, pasti kami akan dimarahi dan akan dihukum seperti tidak boleh lagi keluar dari rumah dan sebagainya. Melakukan aktiviti yang tidak bermoral juga tidak menjadi minat ibu kerana kerana ibu bukanlah seorang bonda yang memberikan kebebasan yang keterlaluan kepada anak-anak atau erti kata lain ‘supporting’ dan aku menjangka bahawa ibu memegang pada prinsip, niat tidak menghalalkan cara. Jadi, sebab itulah ibu tidak suka jika kami bergaul bebas di antara lelaki dan perempuan walaupun kami hanya mahu berkawan tetapi tetap ada batasnya. Sebenarnya, ramai kawan-kawan tidak menyangka akan sikap garang ibu kerana melihat dari sudut luaran ibu, ibu kelihatan seorang yang ceria dan peramah tapi anak-anaknya jauh lebih mengetahui akan sikap ibu yang sebenar. Walaubagaimanapun, aku suka akan sikap tegas ibu. Hal ini kerana itulah salah satu inisiatif yang tepat untuk mendidik anak-anak agar menjadi anak yang berguna dan berbudi pada mereka kelak.

                     Contoh peristiwa bagi karakter lucu pula ialah apabila ibu menonton perlawanan bola sepak di kaca tv. Ibu seolah-olah berada di stadium bola sepak yang dipenuhi dengan penonton yang bersorak dengan megah dan semangatnya! Hal ini kerana ibu akan melompat dan menjerit sekuat-kuatnya lebih-lebih lagi apabila bola hendak dijaringkan. Suara ibu yang agak nyaring sudah semestinya akan mengejutkan kami semua termasuklah aku yang berada di tingkat atas yang selalunya tidak akan menyertai mereka yang lain untuk menyaksikan perlawanan tersebut kerana tidak berminat. Pernah satu ketika dahulu, ibu sedang menyaksikan rancangan reality, Mania di ruang tamu manakala aku sedang melayari internet di tingkat atas dan abah pula sedang menonton perlawanan bola sepak antara Jerman dan Portugal. Tiba-tiba, ibu menjerit, menjerit  dan menjerit. Pada ketika itu, abah berasa amat geram kerana suara ibu amat mengganggu fokus abah untuk terus menonton. Aku hanya mampu ketawa melihat kerenah dua insan yang aku amat sayang ini.

                     Namun begitu, langit tidak selalunya cerah bukan? Ibu bukan selalunya kuat dan berkeadaan baik setiap masa. Kadang-kala ibu akan menangis seakan-akan tidak berdaya untuk melalui hidup ini. Ibu sering menitiskan air matanya apabila ibu berasa susah hati contohnya ketika kami adik-beradik mendapat keputusan teruk dan ketika mengalami masalah keluarga yang lain. Ibu pernah menelefonku ketika aku berada di asrama. Setelah selesai menanya khabarku, ibu tiba-tiba menangis dan ingin mengadu sesuatu. Ketika itu baru aku tahu ibu ada masalah. Pada masa yang sama, aku sedaya upaya cuba untuk kuat dan tabah mendengar segalanya tetapi aku tewas. Akhirnya, aku turut menangis tapi segera mengawal suaraku agar ibu tidak akan mengesyaki apa-apa. Anak mana yang tidak sedih apabila mendengar suara ibu yang teresak-esak menangis? Anak mana yang sanggup mendengar ibu menanggung kesusahan menguruskan rumah seorang diri tanpa ada yang mahu menolong malah lebih membebankan dirinya? Setelah mematikan telefon, aku menangis di bahu kawan. Mereka hanya mampu memujuk dan menyuruhku bersabar. Sebenarnya, dalam masa yang sama aku turut merindukan ibu kerana sudah lama tidak bersua muka. Mahu sahaja pulang dan terus mendakap ibu lebih-lebih lagi apabila mengetahui ibu ada masalah. Oleh sebab itu. Aku tekad mahu belajar bersungguh-sungguh. Aku mahu mengubat luka ibu dan aku mahu menggembirakannya buat kali keduanya dengan mencuba untuk mendapat keputusan yang sangat baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia yang akan aku duduki tidak lama lagi. Hal ini kerana ibu mahu aku masuk ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan aku akan usahakannya demi ibu.

                     Ibu.. siapakah yang boleh hidup tanpanya? Jika soalan ini ditanyakan kepadaku, pasti jawapannya aku tidak mampu sama sekali. Perit, pedih, sedih, takut, sunyi dan sakit itulah gambaran yang boleh aku berikan dan sudah semestinya aku takut untuk menunggu dan melalui saat itu. Aku lebih rela pergi dahulu sebelum ibu kerana tidak rela untuk meniti hari-hari terakhirnya. Hal ini kerana aku hanya sayang dia dan hanya dia bonda yang aku ada di dunia yang fana ini. Oleh itu, aku bertekad untuk menjaga dan membalas budi baiknya. Aku ingin menyaranya dan tinggal bersamanya beberapa tahun sebelum aku mendirikan rumah tangga. Hal ini kerana aku mahu merasai sendiri bagaimana rasa menanggung kedua-dua orang tuaku dengan hasil titik peluhku sendiri yang bermula dari mereka berdua walaupun aku tahu aku tidak akan pernah berjaya membalas jasa mereka sepanjang mereka membesarkanku daripada kecil hingga sekarang tetapi sekurang-kurangnya aku mampi membuat mereka bahagia kelak dan mengetahui bahawasanya aku amat mencintai mereka berdua khususnya ibuku yang teristimewa, Hamidah Mohd Jamil
:)

No comments:

Post a Comment